Rabu, 5 November 2008

Nukilan rasa


Kenangan itu kadangkala teramat pahit untuk diredah, tetapi ia terlalu manis untuk dikenang. Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan. Andai hadirnya cinta sekadar untuk mengecewakan, lebih baik cinta itu tak pernah hadir. Kecewa bercinta bukan bermakna dunia sudah berakhir. Masa depan yang cerah berdasarkan pada masa lalu yang telah dilupakan. Hidup ini indah jika kita tahu menghargainya… Tapi ia amat menyakitkan andai kita melaluinya sambil lewa…

Mr. Adyiz

Melayu

Melayu - Usman Awang


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua’alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selaga yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "


Mr. Adyiz

Lelaki

Lelaki

Telah berdiri seorang lelaki
Hidup berbekal kecekalan diri
Walau menghadapi sejuta cabaran
Terus berpaut pada kebenaran
Berkurun sudah kau merintis jalan
Bertahun sudah hasratmu terhalang
Tetap bersemarak api keazaman
Para keramat doa dan harapan
Kau melangkah bermula dari lembah
Kau mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering kau di tikam onak
Namun kerana kau lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisanmu rahsia di hati
Kau melangkah bermula dari lembah
Kau mendaki setangga ke setangga
Semakin hampir menjejaki puncak
Semakin sering kau di tikam onak
Namun kerana kau lelaki
Derita dapat diselindungi
Tangisanmu rahsia di hati
Kesepianlah..oh teman yang sejati
Didalamnya kau mengenal diri
Tenangnya wajah matanya bicara
Kerana kau meyakini Tuhanlah yang Maha Esa
Kerana kau meyakini Tuhanlah yang Maha Esa


Lelaki (Warkah seorang Anak)

Mr. Adyiz


Salam Kemaafan

Khas buat semua

Dalam beberapa bulan lagi kita akan meninggalkan 2008, 2009 yang akan datang meninggalkan 2008 yang berlalu tanpa kita sedari seperti 2007 dan sebelumnya. Sedar atau tidak waktu yang berlalu sekarang terlalu pantas aku rasakan. Hari ini entah kenapa rasa ringan tangan untuk mencatatkan sesuatu di blog ini. Sejujurnya hati ini rasa tenang dalam kesibukan tugas yang semakin mencabar sekarang.


Kerjaya

Masa berlalu amat pantas. Tanggungjawab juga makin bertambah. Persoalan yang bermain di fikiran aku ialah "adakah aku mampu galas semua ini dengan baik dan cemerlang??" Selain tugas harian di pejabat, banyak yang perlu di lunaskan sebagai seorang kakitangan awam. Tambahan tugas sebagai seorang Pegawai Kerajaan sekarang aku anggap satu cabaran dalam mengakhiri 2008 ini. Dengan usia sebegini dan peranan yang tak pernah aku fikirkan sebelum ini datang di depan mata. Alhamdulillah banyak tawaran mahupun rezeki kerjaya yang aku perolehi seperti PETRONAS, TNB, KPDRM, KKTNJB, KPMNJ dan sehinggakan aku lupa akan tawaran-tawaran yang mengundang masa depan aku. Terlalu sukar untuk buat keputusan saat kerjaya yang sedang aku juangkan ini masih aku sayang. InsyaAllah, keputusan yang aku lakukan hingga kehari ini aku pasti benar, betul & tepat. Di mana-mana pun aku akan teruskan sumbangan buah fikiran dan apa jua untuk berbakti kepada masyarakat. Saatnya pasti tiba..... dan bila tiba waktunya itulah takdir Tuhan yang pasti.


Kehidupan peribadi

Ada seorang kawan yang cakap "ko ni ady kerja macam tak der hari esok dah". Entahlah, aku sendiri tak mampu mentafsir masa depan yang masih panjang akan aku harungi. Cuma untuk kehidupan peribadi sendiri aku dapat tahu bahawa ramai yang berkecil hati dengan cara aku sekarang. Buat semua teman dan sahabat, maaf sebab tak mampu penuhi waktu-waktu indah bersama. Berikan ruang dan masa beberapa tahun lagi supaya semuanya akan stabil. Ruang masa yang ada hanya kerja dan sangat sedikit rasanya aku peruntukkan pada kehidupan peribadi. Cuma adalah sesekali kalau ada kelapangan aku bahagikan masa untuk diri sendiri.


Harapan dan doa

Untuk seluruh insan di dunia yang aku telah lukai dalam sedar ataupun leka, mohon maaf dari seseorang yang bernama Rosdi bin Senan. Tak ada niat sebenarnya untuk menjarakkan jurang antara kita yang pernah kenal antara satu sama lain. Jika pertemuan yang Tuhan aturkan dan takdirkan antara kita hanya sekadar untuk menyakiti, lebih baik kita tak pernah kenal antara satu sama lain. Dunia ini terlalu luas dan kita merupakan pelengkap. Hadirnya kalian sebagai ibu, ayah, kakak, abang, adik, teman, sahabat, kawan atau apa sahaja jalinan perhubungan antara kita merupakan satu anugerah Illahi. Manafaatkan tiap detik kita pernah bersama, dan ingat saat manis suka nahupun duka kerana hidup ini untuk di nikmati bersama, bukan di bentang untuk derita.

Jika dunia ini persinggahan, mengapa tidak kita banyakkan bekalan meneruskan perjalanan. Yang pasti kita cuma ada satu persinggahan, sepanjang mengisi jalan kedewasaan sementara menunggu saat di jemput pulang. Yang tergadai sekian lama tebuslah semula, janakan kembali kemuliaan seorang insan yang tak punyai apa-apa, hanya sebuah kurniaan milik Tuhan, berteraskan akal yang di beri, menolak mimpi mencari damai abadi.

Wahai Tuhan, sedarkan diri ini saat aku alpa dan lupa. Permudahkan laluan kehidupan saat jiwa diselubungi derita, semoga natijahnya akan lahir jiwa yang semakin dekat dengan Mu wahai Tuhan, kerana roh dan jiwa ini suatu masa nanti pasti kembali kepada penciptaNya, kekal pada azali kejadian.

Puji-pujian kepada Tuhan, penghitung setiap gerak laku dan bicara yang ditutur, sama ada di dalam terang mahu pun ketika berselindung… Dialah yang berkuasa menghidupkan yang mati, menurunkan hujan tanpa henti tanda kekuasaan-Nya tiada siapa pun dapat mengatasi, agar manusia tidak terus alpa dan lupa diri, meminggirkan Tuhan kecuali bila teringat sesekali..Tiada perkataan layak buat bayangan, terima kasih pada-Mu Tuhan, tak terhitung kurniaan biarpun dakwat selautan, sesungguhnya Engkau Maha Penyayang.

Catatan dari ummatmu sebelum roh dan jiwa di jemput pulang.


ikhlas buat semua,

Rosdi bin Senan

SKM/2008